Latar Belakang Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) merupakan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan. Ia tercetus sewaktu Kongres Usahawan Muda Bumiputera pada 27 - 29 Mac 2014. Semasa Majlis Penutup Kongres pada 29 Mac 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada SME Corp. Malaysia bagi melaksanakan Program Tunas Usahawan Bumiputera pada tahun 2014.

Program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan.

Maklumat Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Program ini menyasarkan golongan belia Bumiputera yang berumur di antara 18 - 30 tahun yang mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan. Objektif utama Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera adalah untuk:

  1. memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia
  2. anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan; serta
  3. membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri
Program TUBE ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan dengan pengetahuan dan maklumat asas keusahawanan, selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar menerusi dua (2) fasa pelaksanaan iaitu:
Fasa 1

Fasa Pertama

Seiring dengan kemajuan sains dan teknologi serta ancaman pandemik yang telah melanda, latihan kepada para peserta kini dilaksanakan secara dalam talian melalui platform khas yang dipilih.

Peserta akan didedahkan dengan lanskap perniagaan terkini; termasuk maklumat mengenai jenis bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi untuk memulakan perniagaan. Peserta juga akan mempelajari pelbagai acumen perniagaan termasuk perakaunan asas, pemasaran produk dan perkhidmatan, serta pembentangan idea dan Rancangan Perniagaan (RP) atau business plan.

Latihan secara dalam talian ini juga secara tidak langsung membantu para peserta lebih memahami aktiviti perniagaan dalam talian yang memerlukan peserta untuk meningkatkan aspek pendigitalan dalam perniagaan agar dapat melaksanakan perniagaan mereka dengan lebih pantas dan efisien, serta lebih memahami cara dan kaedah untuk meneroka strategi baru perniagaan melalui penerapan e-dagang.

Fasa 2

Fasa Kedua

Peserta yang berjaya menamatkan Fasa 1 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa di Fasa 1. Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau menerusi Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia. Tempoh bimbingan dan pemantauan ini yang mengambil masa selama 12 bulan bertujuan untuk memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi, supaya perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan.

Peringatan Penting

  1. Pemohon mesti membaca serta memahami konsep pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta kriteria kelayakan permohonan sebelum mengemukakan permohonan.
  2. Permohonan dalam talian akan dibuka mulai 7 sehingga 31 Mei 2023 sahaja. Permohonan sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan diterima.
  3. Permohonan hanya boleh dibuat sekali sahaja.
  4. Sila pastikan emel yang digunakan semasa Pendaftaran ID adalah aktif dan sah.
  5. Sila lengkapkan semua soalan di setiap Seksyen dengan maklumat yang tepat dan betul sebelum menekan butang "Sah & Hantar"
  6. Sebarang pengemaskinian maklumat tidak boleh dilakukan setelah anda menekan butang "Sah & Hantar".
  7. Pemohon diwajibkan untuk mencetak makluman penerimaan permohonan untuk simpanan dan rujukan pada masa akan datang.
  8. Pemohon hendaklah MEMENUHI SEMUA kriteria kelayakan yang dinyatakan. Sekiranya didapati bahawa :-
    1. pemohon tidak memenuhi salah satu / mana-mana kriteria dinyatakan, pemohon secara langsung adalah TIDAK LAYAK untuk dipertimbangkan;
    2. pemohon mengemukakan maklumat tidak benar atau palsu, permohonan akan DIBATALKAN serta merta
  9. Berdasarkan kepada dasar dan prosedur yang diterima pakai, SME Corp. Malaysia berhak untuk meminda, mengganti, membatal atau mengubah mana-mana terma dan syarat permohonan ini pada bila-bila masa tanpa memberi notis terlebih dahulu. Keputusan penilaian permohonan adalah muktamad dan sebarang surat-menyurat atau rayuan TIDAK AKAN DIPERTIMBANGKAN.